Dewan Merdeka riuh rendah dengan gelak ketawa para perwakilan yang mendengar ucapan pemimpin veteran Umno dari Negeri Sembilan, Datuk Ishak Ismail, yang bukan sahaja penuh jenaka tetapi juga tebal dengan sindirin terhadap pemimpin parti.
Dalam ucapannya, bekas ADUN Lenggeng itu menjelaskan mengapa beliau menyokong "musuh politiknya" Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Ahad lalu.
Katanya, sewaktu Isa menjadi menteri besar, mereka pernah bertengkar di dewan DUN sehingga mereka saling gelar-menggelar.
Ishak berkata, beliau masih ingat betapa Isa marahkannya sehingga menggelarnya 'sakai', tetapi beliau pula menggelar Isa 'lanun'.
"Dia gelar saya sakai, saya tengok dia, kecil mata saya... Mana saya tidak sokong, sakai dah sokong lanun," katanya disambut gelak ketawa perwakilan.
"Saya sokong Isa, (kerana) apabila digantung (keahlian), beliau tidak pernah meragam, tidak pernah mengugut untuk keluar parti, dia jaga kawasan, dia hebat," katanya.
Ishak juga berkata, Isa juga seorang yang berani sewaktu beliau bersamanya berceramah dalam kempen pilihan raya kecil di Ijok dua tahun lalu.
Kencing dalam stadium
Aksi Ishak berucap itu juga menyebabkan barisan pucuk pimpinan Umno di atas pentas, termasuk perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak kering gusi.
Pemimpin veteran itu menceritakan pengalaman yang pernah kencing di sebuah stadium di London ketika beliau sedang menuntut di sana tahun 1970-an.
Katanya, beliau berbuat demikian kerana tidak tahan untuk membuang air kecil, ketika sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara Liverpool dengan Leeds United.
Dewan gamat apabila Ishak turut menggayakan cara dia membuang air kecil, yang didakwanya terkena penonton kulit putih di bawah.
"Orang Melayu kencing orang putih... lepas itu saya rasa punggung saya basah. Rupa-rupanya, orang di atas kencing dekat saya," katanya, sekali menggamatkan dewan.
Ishak juga turut berkongsi pengalamannya bersama Najib dan beberapa orang rakannya di suatu malam sewaktu presiden Umno menjadi ketua Pemuda.
Katanya, pada malam tersebut, terdengar satu letupan kuat sehingga mengejutkan mereka dan Najib kemudian berkata kepadanya: "Hak, apa kita nak buat. Saya kata, raba telur you".
"Saya tanya, ada Datuk? Dia jawab, ada Hak," katanya, diikuti dewan yang gamat dengan gelak ketawa perwakilan.
Manakala Najib pula kelihatan tersipu-sipu malu sambil menunjukkan tangannya ke arah Ishak.
Beliau sekali lagi menggamatkan dewan apabila berkata beliau berbuat demikian kerana mengetahui Najib bakal menjadi perdana menteri.
"Apa guna jadi perdana menteri kalau telur tidak ada," katanya dan dewan sekali lagi riuh.
Ishak juga memberi petua kepada perwakilan cara hendak mengenal seseorang suami yang takutkan isteri daripada caranya bertepuk tangan.
Secara berseloroh, beliau berkata, lelaki yang bertepuk dengan tangan kiri di atas, ia menunjukkan seseorang yang takutkan bini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan